Translate

14 Apr 2020

PERUMPAMAAN



A.              Bagai air titik ke batu
Maksudnya: Memberi nasihat dan ajaran yang sia-sia.
Contoh ayat: Sudah berkali-kali Pak Rahim menasihati anaknya supaya jangan
melabur dalam skim cepat kaya itu. Akan tetapi, nasihatna bagai air
titik ke batu kerana langsung tidak dipedulikan oleh anaknya.

B.              Bagai aur di atas bukit
Maksudnya: Menyerahkan diri kepada nasib.
Contoh ayat: Setelah gagal mencari anaknya yang hilang, wanita itu kini berserah
sahaja kepada nasib bagai aur di atas bukit.

C.              Bagai ayam naik ke surau
Maksudnya: Menjadi tamu di rumah orang yang tidak memberikan jamuan apa-apa.
Contoh ayat: Sudah hampir dua jam Encik Abu berbual dengan Encik Ramli, tetapi
belum ada tanda-tanda Encik Ramli hendak mempelawanya minum.
Sehinggalah ia membuat keputusan untuk balik, secawan air pun tidak
dihidangkan. Keadaan yang dialami oleh Encik Abu bagai ayam naik
ke surau.

D.              Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
Maksudnya: 1. Tiada muafakat dalam sesuatu perbincangan.
                     2. Mementingkan diri sendiri.
Contoh ayat: Setelah tiga hari bekalan air terputus, penduduk di taman itu bertolak-
tolakan apabila melihat lori yang membekalkan air tiba. Sikap mereka
itu seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

E.               Bagai menelan mestika embun
Maksudnya: Mendengar nasihat yang baik.
Contoh ayat: Syazwan seorang anak yang bagai menelan mestika embun kerana
mendengar segala nasihat ibu bapanya semasa di perantaun.

F.               Bagai si rabun memimpin si buta
Maksudnya: Meminta pertolongan kepada orang yang kurang upaya.
Contoh ayat: Kehidupan Shikin serba susah itu tidak mungkin dapat membantu
keluarga kakaknya kerana pertolongannya itu bagai si rabun
memimpin si buta.

G.              Bagai tikus membaiki labu
Maksudnya: Membaiki barang yang tidak diketahui, akhirnya semakin teruk.
Contoh ayat: Tindakan abang membaiki radio itu seperti tikus membaiki labu
apabila radio itu bertambah kerosakannya.

H.              Seperti ikan dalam belat
Maksudnya: Keadaan sesuatu tempat yang sangat sesak.
Contoh ayat: Pada malam tahun baru, keadaan di Bandar Seri Begawan terlalu sesak
dengan pengunjung bagai ikan dalam belat.

I.                 Seperti kijang lepas ke rimba
Maksudnya: orang yang pulang ke tempat asalnya.
Contoh ayat: Setelah bertahun merantau di negara orang lain, akhirnya dia dapat
balik juga ke kampung halamannya, kegembiraannya itu seperti kijang
lepas ke lepas ke rimba.

7 Apr 2020

Tatabahasa - Pola ayat dalam Bahasa Melayu


Pengenalan
  • Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.
  • Melalui pola ayat dasar, maka terbentuk ayat-ayat lain seperti ayat tunggal, ayat majmuk, ayat aktif, ayat pasif dan sebagainya.
  • Setiap ayat dasar terbentuk daripada dua unsur iaitu subjek dan predikat.

Pembahagian pola ayat dasar
·       Terdapat 4 jenis pola ayat dasar
1.     Subjek: Frasa Nama + Predikat: Frasa Nama
Contoh ayat: Emma pelajar Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

2.     Subjek: Frasa Nama + Predikat: Frasa Kerja
Contoh ayat: Azrul sedang mencuci kereta.

3.     Subjek: Frasa Nama + Predikat: Frasa Adjektif
Contoh ayat: Pemuda itu sangat baik.

4.     Subjek: Frasa Nama + Predikat: Frasa Sendi Nama
Contoh ayat: Abang di ruang tamu.

·       Berdasarkan nota di atas, pola ayat terbahagi kepada 4 pola iaitu:
1)     Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
2)     Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
3)     Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FK)
4)     Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FSN)

1 Apr 2020

KARANGAN BERFORMAT - SURAT KIRIMAN RASMI

  • Surat kiriman tidak rasmi ialah surat yang biasanya ditulis kepada ahli keluarga atau sahabat handai.
  • Biasanya ditulis dengan tujuan untuk memberitahu sesuatu perkara seperti:

1.     Surat ucapan tahniah.
2.     Surat ucapan takziah.
3.     Surat bertanya khabar berita.
4.     Surat menceritakan tempat-tempat menarik.
5.     Pengalaman di tempat baru.
6.     Surat minta kebenaran ibu bapa / penjaga.
7.     Membalas surat yang dihantar oleh orang lain.

Teknik menulis surat kiriman tidak rasmi
  • Mulakan menulis surat dengan bertanyakan khabar dan menceritakan keadaan kesihatan penulis.
  • Jika membalas surat, sebelum menanyakan sesuatu, terlebih dahulu jawab pertanyaan yang dikemukakan sebelum ini.
  • Gunakan panggilan mengikut usia atau pangkat seperti nenda, ayahanda, ibunda / bonda, kakanda / kanda, adinda, anakanda, cucunda, saudara dan saudari.
  • Jangan gunakan kata ganti nama ‘aku’, ‘awak’ ataupun ‘kamu’.
  • Akhiri surat dengan salam, penghargaan, terima kasih dan keinginan untuk berutus surat lagi.

Format menulis surat kiriman tidak rasmi adalah seperti berikut:
  • Alamat pengirim di sebelah kanan atas.
  • Tarikh surat di bawah alamat pengirim.
  • Pembuka kata.
  • Panggilan hormat – laras bahasa persuratan.
  • Isi 1 – tujuan menulis surat.
  • Isi 2 - 5
  • Penutup
  • Tandatangan dan nama di sebelah kanan bawah.
  • Kira dan tulis jumlah perkatan di seblaha kanan bawah.

Contoh:
Keluarga kamu baru berpindah ke rumah baru. Tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu dan ceritakan keadaan rumah baru kamu itu. Panjang karangan tidak kurang daripada 250 patah perkataan.

                                                                                                                    No. 36, Jalan Pasir Berakas,
                                                                                                                    Kg. Lambak, BE1518,
                                                                                                                    Bandar Seri Begawan,
                                                                                                                    Negara Brunei Darussalam.

                                                                                                                    25 Mac 2020

            Menemui sahabatku, Amirul yang berada di Kuala Belait, Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Saudara,

            Tujuan saya menulis surat kepada saudara adalah untuk menceritakan tentang rumah baru saya yang terletak di Kg. Lambak. Saya dan keluarga baru sahaja berpindah ke sini kerana mengikut ayah yang ditugaskan di tempat baharu. Rumah saya ini terletak di atas bukit.

            Saya berasa sangat seronok kerana pemandangan di sekeliling rumah saya sangat indah. Apabila berdiri di halaman rumah saya, akan kelihatan kawasan perumahan rakyat jati Kampung Lambak Kanan yang sangat besar dan kedai membeli belah. Saya selalu berehat di halaman rumah saya dengan duduk di buaian yang telah dibeli oleh ayah.

            Rumah saya mempunyai lima buah bilik. Ibu bapa saya menggunakan bilik utama yang terletak di hadapan dan kakak pula di bahagian belakang. Saya dan abang pula berkongsi bilik di bahagian sebelah kanan rumah.

            Rumah baharu saya ini berwarna putih dan di dalam rumahnya pula berwarna biru. Saya, abang dan kakak mengulang kaji pelajaran dalam bilik bacaan setiap malam. Ruang tamu dan dapur rumah agak besar jika dibandingkan dengan rumah lama.

            Saya sangat berharap agar saudara berpeluang datang ke rumah saya suatu hari nanti. Akhir kata, sampaikan salam saya buat keluarga saudara dan semoga kita dapat berjumpa lagi.

                                                                                                                    Yang benar,
                                                                                                                    Shah Iskandar