Translate

26 Sep 2016

TATABAHASA: IMBUHAN

Imbuhan juga dikenali sebagai penambahan.
Penambahan ini dimaksudkan sebagai penambahan kepada kata dasar untuk menghasilkan kata terbitan mengikut golongan kata tertentu seperti kata nama, kata kerja dan kata adjektif.
Imbuhan terbahagi kepada 4 jenis:


  1. Awalan
  2. Akhiran
  3. Apitan
  4. Sisipan


Imbuhan Awalan
Awalan imbuhan diletakkan di hadapan kata dasar.
meN-…                      melawan, mencuri, memberi, mengambil, menyahut
ber-…                         bermain, berbasikal, berlari
ter-…                          terbesar, terkena, terambil
di-…                           disuruh, dibaling, dirompak
memper-…                 memperluas, memperoleh, memperkaya
diper-…                      diperluas, diperbesar, diperguna
ke-…                          kedua-dua, kehendak, ketua
peN-…                        pesakit, penceramah, pembaca, pengebom, penyakit
per-…                         perasap, perbara, pertapa
se-…                           seindah, selazat, secantik
juru-…                        jurubahasa, jurujual, jurugambar

Contoh ayat:

  1. Amin berbasikal ke pantai.
  2. Kedua-dua orang pemuda itu suka bergusti.
  3. Pensel itu diasah oleh Salim
  4. Pokok yang tinggi itu ditebang oleh mereka.
  5. Kelapan-lapan ekor lembu itu dijangkiti penyakit kuku dan mulut.
  6. Anak kecil itu merangkak di bawah meja.
  7. Bisul pada pahanya itu telah mengecut.
  8. Anak kucing itu mengiau kelaparan.
  9. Ahmad sedang menganyam tikar mengkuang yang ditempah oleh pelanggannya.
  10. Pemain bola sepak itu kelihatan lincah sekali apabila beraksi di padang.
  11. Pemuda itu seorang yang pendiam.




Imbuhan Akhiran
Imbuhan akhiran diletakkan di belakang kata dasar.
…-kan                         matikan, tuangkan, buangkan
…-i                             dekati, masuki, tandingi
…-an                           ajaran, tawanan, amalan
…-wan                        usahawan, dermawan, wartawan
…-wati                        olahragawati, seniwati, peragawati
…-man                        seniman
…-isme                       nasionalisme, sosialisme, komunisme

Contoh ayat:

  1. Pembentukan padang pasir itu mengambil masa ribuan tahun.
  2. Jangan dekati orang yang kurang siuman itu.
  3. Sudah kamu masuki rumah kosong itu?
  4. Tuangkan air minuman itu ke dalam gelas.
  5. Matikan enjin kereta itu.
  6. Seniwati yang membintangi filem itu digilai oleh orang ramai.





Imbuhan Apitan
Imbuhan apitan diletakkan di hadapan dan di belakang kata dasar.
meN-…-kan                melarikan, menjauhkan, membinasakan, menghadiahkan, menyelitkan
meN-…-i                    merestui, mendahului, membaiki, menghubungi, menyahuti
beR-…-kan                 beralaskan, berdasarkan, bertemankan
beR-…-an                   berlarian, berterbangan, bermusuh-musuhan
di-…-kan                    diceraikan, dijalankan, disemayamkan
di-…-i                         dianugerahi, dianuti, diwarisi
memper-…-kan          memperbesarkan, memperluaskan, mempersembahkan
memper-…-i               memperbaharui, mempersetujui, memperakui
ke-…-an                      keindahan, keajaiban, keistimewaan
diper-…-kan               diperlihatkan, dipergunakan, diperdengarkan
diper-…-i                    diperingati, diperbaiki
peN-…-an                   pelarian, penipuan, pembacaan, pengeboman, penyiasatan
per-…-an                    persamaan, perbezaan, perjumpaan

Contoh ayat:

  1. Anak-anak kucing yang comel itu bercakar-cakaran sesama sendiri.
  2. Mereka mencari gua itu berdasarkan peta.
  3. Keputusan peperiksaan saya amat mengecewakan.
  4. Perangainya masih keanak-anakan kerana terlalu dimanjakan oleh orang tuanya.
  5. Mereka hidup dalam kemiskinan sejak ayahnya dipecat.
  6. Dia tidak tahu menghargai pemberian orang lain.
  7. Haziq enggan mengakui kesilapannya itu.
  8. Abang mengetepikan keretanya supaya tidak menghalang kenderaan lain untuk lalu di jalan itu.
  9. Liza membelikan ibunya sepasang subang.
  10. Pengawal itu tidak membenarkan kami masuk.
  11. Jabatan Pengangkutan Darat melakukan pemeriksaan terhadap bas persiaran.
  12. Kayu balak itu dihantar ke pelabuhan untuk dieksport.
  13. Gopal membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPE.



Sisipan
Imbuhan sisipan diletakkan di tengah-tengah kata dasar.
…-el-…         telunjuk (tunjuk), telapak (tapak), kelemumur (kemumu / kemumur)
…-em-…       kemuning (kuning), gemilang (gilang), gemuruh (guruh)
…-er-…         seruling (suling), serabut (sabut), gerodak (godak), gerigi (gigi)


5 Sep 2016

MEMODENKAN PETIKAN TEKS KLASIK

PENGENALAN
  • Bahagian Soalan Memodenkan Prosa Klasik merupakan soalan pilihan yag dikemukakan dalam Soalan 3 kertas 2 soalan peperiksaan G.C.E di peringkat ‘O’.
  • Satu petikan teks diberikan panjangnya antara 80-100 patah perkataan.
  • Dua bentuk soalan yang dikemukakan berdasarkan teks, iaitu:

     i.        Memindahkan petikan prosa klasik menjadi petikan prosa moden.
                                                      ii.        Maksud rangkai kata klasik.


KONSEP PROSA KLASIK
  • Prosa klasik ialah sebahagian daripada kesusasteraan Melayu klasik yang disebarkan secara lisan serta tulisan yang disebarkan dari satu generasi kepada satu generasi.
  • Karya berbentuk prosa bermaksud karya yang berbentuk karangan yang disulami dengan pelbagai unsur gaya bahasa serta teknik penceritaan. Isinya berkisar tentang raja-raja, putera-puteri raja, yang diselitkan dengan unsur luar biasa dan kesaktian, serta tentang ketokohan dan kepahlawanan seseorang. Namun begitu, terdapat juga kisah yang berkaitan dengan masyarakat biasa seperti Lebai Malang dan sebagainya. Cerita ini umumnya tidak diketahui penciptanya, oleh sebab itu ia menjadi milik rakyat atau milik semua.


SIFAT ATAU CIRI-CIRI BAHASA KLASIK
  • Ayat-ayat bahasa klasik panjang dan berbelit-belit. Tanda baca selalunya tidak diletakkan dengan betul dan ada langsung yang tidak ada. Contohnya:

Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik.

  • Susuk ayat bahasa klasik banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab, Sanskrit dan klasik. Contohnya:

Arab: Allah Taala, makhdum, mualim dauat, wallahualam, taksim, dll.
Sanskrit: dosa, pahala, raja, dll
Klasik: berahi (cinta), gharib (ganjil), ratna mutu manikam (batu permata), masyghul (dukacita, sedih), ceritera (cerita), amarah (marah), sahaya (saya), centera (cerita), khial (khayal), dsb.

  • Kekerapan menggunakan struktur ayat pasif dalam bahasa klasik. Sebagai contoh:

Bahasa klasik: maka oleh Hang Tuah dipalang kepala dua orang yang mengamuk itu terbelah dua.
Bahasa moden: lalu Hang Tuah memarang kepala dua orang yang mengamuk itu dan terbelah dua.

  • Selalunya bahasa klasik banyak mendahulukan predikat, kemudian diikuti dengan subjek (ayat songsang).

Bahasa klasik: Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka. (Hikayat Hang Tuah)
Bahasa moden: Feringgi berperang dengan orang Melaka.

  • Ayat bahasa klasik banyak menggunakan imbuhan ‘lah’ dan ‘pun’. Contohnya: adapun, bertitahlah, berebutlah dan sebagainya.

“Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya” (Sejarah Melayu hal 55)
Batu pun habis berpelantingan.
pun turunlah

  • Bahasa Melayu klasik lebih bersifat bahasa Istana terutama dari segi penggunaan perkataan dan sistem panggilannya seperti sembah, beta, titah, berangkat, gering, titah, beradu, bersiram, mangkat, putera, puteri, bersemayam dan sebagainya.
  • Petikan banyak menggunakan kata pangkal ayat yang agak klise atau usang yang kini tidak digunakan lagi. Contoh: arakian, syahadan, hatta, alkisah, kata sahibul hikayat, maka, tatkala, adapun dan sebagainya.


MEMODENKAN PETIKAN PROSA KLASIK
Memodenkan petikan prosa klasik bermakna memindah atau menukar bahasa klasik atau lama menjadi bahasa Melayu baru atau moden. Biasanya, petikan yang dipindahkan atau dimodenkan itu diambil atau dipetik daripada satu atau beberapa perenggan sesebuah hikayat yang khusus menampilkan bahasa klasik, kuno ataupun lama.

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PROSA KLASIK
Membaca dan memahami petikan
1.    Baca keseluruhan petikan sehingga faham.
2.    Berikan tumpuan terhadap persoalan atau isu utama dalam petikan.
3.    Selain itu, buat beberapa catatan tentang watak-watak, latar tempat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam petikan.

Menganalisis dan menulis serta memindahkan petikan prosa klasik menjadi petikan prosa moden
1.    Pelajar perlu ingat bahawa jawapan yang ditulis mestilah dalam bahasa Melayu moden.

2.    Gariskan perkataan-perkataan bahasa klasik yang dapat ditukarkan.

3.    Jangan pindahkan secara ayat demi ayat. Sebaliknya, fahamkan maksud keseluruhan petikan dan ceritakan semula.

4.    Jangan menokok tambah dengan butir-butir atau fakta-fakta yang tidak terdapat dalam petikan.

5.    Nama-nama khas seperti nama watak, tempat dan peralatan tidak boleh ditukar/mestilah dikekalkan.

6.    Kata “pun” dan “lah” hendaklah ditinggalkan. Contoh:
Bahasa klasik: maka seketika itu pun berputeralah tuan puteri itu seorang anak lelaki.
Bahasa moden: Selepas itu, Tuan Puteri melahirkan seorang anak laki-laki.

7.    Elakkan menggunakan perkataan-perkataan lama seperti arakian, hatta, sebermula, alkisah, syahdan, sekali sepertua dan lain-lain dan perkataan-perkataan yang tidak lagi digunakan sekarang. Perkataan klasik yang ada dalam petikan tersebut, perlulah ditukarkan kepada bahasa moden. Ini penting kerana jika anda mengekalkan perkataan klasik tersebut, markah anda akan dipotong kerana tidak menepati arahan soalan.

8.    Bahasa Istana tidak perlu diganti dengan perkataan lain atau perkataan yang seerti dengannya.

9.    Ayat-ayat panjang, berbelit-belit dan tidak jelas hendaklah dipecahkan kepada beberapa ayat supaya pendek dan jelas maksudnya.
Contoh:
Maka Sultan Melaka pun hairan melihat paras puteri Cina itu, disuruhnya masuk Islam, telah sudah maka baginda pun berkahwinlah dengan puteri itu, beranak Paduka Seri Cina, ayah kepada Paduka Isap.”
Jawapan:
“Sultan Melaka takjub apabila melihat kecantikan Tuan Puteri Cina itu. Baginda lalu menitahkan supaya Tuan Puteri itu memeluk agama Islam. Selepas itu, baginda berkahwin dengan puteri itu dan mendapat seorang putera bernama Paduka Seri Cina yang menjadi ayah kepada Paduka Isap."

10. Tukarkan struktur ayat pasif menjadi struktur ayat aktif.
Bahasa klasik: maka oleh Hang Tuah dipalang kepada dua orang yang mengamuk itu terbelah dua.
Bahasa moden: lalu Hang Tuah memarang kepada dua orang yang mengamuk itu dan terbelah dua.

11. Tukarkan ayat-ayat songsang kepada ayat biasa.
Contoh:
Ayat songsang: “Hendaklah diperliharakan kamu sekalian dan dia”
Ayat biasa: “Kamu sekalian hendaklah memeliharanya”

12. Perbualan atau Cakap Ajuk di dalam petikan (jika ada mestilah dituliskan dalam perenggan baru atau boleh juga ditukarkan menjadi ayat Cakap Pindah yang telah dimodenkan, tetapi ditulis dalam satu perenggan sahaja.

Menganalisis dan menjawab soalan berkaitan dengan maksud rangkai kata
1.    Perhatikan perkataan atau rangkai kata berhuruf condong atau bercetak tebal dalam petikan, kemudian garisi perkataan atau rangkai kata tersebut.
2.    Seboleh-bolehnya, ganti setiap perkataan anda sendiri tetapi mestilah mengikut maksud penggunaannya dalam petikan.
3.    Berikan satu jawapan sahaja menunjukkan yang anda yakin dapat menepati maksud penggunaannya.

Contoh teks klasik:
     Dengan tiada berapa lamanya sampailah mereka itu ke Negeri Daha itu. Maka Raden Inu segan masuk lalu menanti di luar istana. Maka disuruhnya Jerude dan Kartala masuk bersama-sama dengan Mahadewi akan menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha itu.

Maka tatkala dilihat oleh Sang Ratu akan Mahadewi datang dengan balut matanya, sungguhpun selama ia pergi tiada dikenangnya, akan tetapi pada masa bertemu itu timbullah belas dan kasihan di dalam hatinya serta teringatlah ia pada isterinya yang sudah meninggal diracuni itu. Lagi pula baharulah ia tersedar akan dirinya dan baharulah diketahuinya akan segala kejahatan Paduka Liku itu kerana pada masa itu rupa-rupanya segala hikmat dan ubat-ubatan Paduka Liku itu telah hilang kemanjurannya.

Senaraikan nama-nama watak:
  1. Raden Inu
  2. Jerude
  3. Kartala
  4. Mahadewi / Puteri
  5. Kebawah Duli Sang Ratu Daha / Sang Ratu
  6. Permaisuri (isteri Sang Ratu)
  7. Paduka Liku.
Senaraikan latar tempat:
  1. Dalam istana
  2. Luar istana

Senaraikan isi penting:
  1. Jerude, Kartala dan Mahadewi masuk ke istana untuk menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha.
  2. Mahadewi pulang ke istana dalam keadaan bengkak di bahagian mata.
  3. Sang Ratu teringkat akan permaisurinya yang telah mangkat.
  4. Paduka Liku adalah seorang yang jahat.
  5. Hikmat dan ubat-ubatan Paduka Liku sudah hilang mujarabnya.

Setelah ditukar teks klasik kepada teks moden:
Raden Inu, Jerude, Kartala dan Mahadewi sampai ke Negeri Daha. Raden Inu malu dan hanya menunggu di luar istana. Beliau menyuruh Jerude, Kartala dan Mahadewi menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha.

Apabila Sang Ratu melihat Mahadewi datang dengan bengkak matanya, timbul rasa belas kasihan. Baginda teringat akan Permaisuri baginda yang telah meninggal duania akibat terkena racun. Baginda telah sedar akan kejahatan Paduka Liku kerana pada masa itu semua hikmat dan ubat-ubatan Paduka Liku sudah hilang mujarabnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Contoh teks klasik 2:

Setelah dilihat oleh isterinya Seri Rama, yang bernama Sita Dewi, keduanya bertari-tari dan melompat-lompat, maka kata Sita Dewi kepada Seri Rama:

“Ya, tuanku, tangkaplah kijang dua ekor itu akan permainan hamba,”

Maka kata Seri Rama: “Tiada hamba mahu akan dia mati, hanya hamba hendak dengan hidupnya juga,”

Setelah Seri Rama mendengar kata isterinya itu, maka Seri Rama pun segera mengambil panahnya lalu turun dari rumahnya. Maka kata Seri Rama memanggil Laksamana seraya berkata:

“Hai, Laksamana, tinggallah adinda menunggui kakanda Sita Dewi, aku pergi mengikut kijang dua ekor itu,”

Setelah Seri Rama berkata demikian, maka baginda pun berjalanlah. Setelah kijang itu melihat Seri Rama datang mengikut dia, maka kijang itu pun larilah. Maka diikutnya juga oleh Seri Rama.
 
Senarikan nama-nama watak:
  1. Seri Rama (suami)
  2. Sita Dewi (isteri)
  3. Laksamana (adik)

Senaraikan latar tempat:
  1. Dalam rumah
  2. Kawasan hutan

Senaraikan isi penting:
  1. Sita Dewi terlihat kijang 2 ekor dan menyuruh Seri Rama menangkapnya untuk dijadikan binatang peliharaan.
  2. Sita Dewi mahu kijang itu ditangkap hidup-hidup.
  3. Seri Rama menyuruh Laksamana menjaga Sita Dewi.
  4. Seri Rama pergi mengejar kijang dua ekor itu.

Setelah ditukar teks klasik kepada teks moden:

Apabila Sita Dewi, isteri kepada Seri Rama, melihat dua ekor kijang yang sedang menari-nari dan melompat-lompat itu, lalu dia berkata kepada Seri Rama:

“Ya tuanku, tangkap kijang dua ekor itu untuk dijadikan haiwan peliharaan.”

“Kijang itu tidak dapat ditangkap hidup-hidup. Hamba akan panah kedua-keduanya,” kata Seri Rama.

“Hamba tidak mahu kijang itu mati. Hamba mahu kedua-duanya hidup,” kata Sita Dewi.

Kemudian, Seri Rama segera mengambil panahnya lalu keluar dari rumahnya. Kemudian, Seri Rama memanggil Laksamana dan berkata:

“Hai Laksamana, adinda jagakan kakanda Sita Dewi, aku pergi mengejar dua ekor kijang itu.”

Setelah itu, Seri Rama meneruskan perjalanannya. Kijang itu melarikan diri apabila terlihat kedatangan Seri Rama. Namun, Seri Rama tetap mengejarnya.

3 Sep 2016

Penanda Wacana

Pengenalan
Penanda wacana ialah kata yang digunakan untuk mengaitkan ayat dengan ayat yang lain. Biasanya penanda wacana digunakan dalam karangan untuk menunjukkan pertautan idea, urutan isi, ayat dengan ayat dan juga perengan dengan perenggan. Penggunaan penanda wacana yang sesuai dapat melahirkan ayat dan perenggan yang berkesinambungan, gramatis dan bermakna.

Penanda permulaan karangan:

  • Pada era globalisasi ini,....
  • Pada meniti arus kemodenan ini,...
  • Pada masa ini,...
  • Dewasa ini,...
  • Kini,...
  • Sejak akhir-akhir ini,...
  • Kebelakangan ini,...

Penanda memulakan isi baharu:
  • Selain itu,...
  • Di samping itu,...
  • Sementara itu,...
  • Lebih-lebih lagi,...
  • Dalam pada itu,...
  • Seterusnya,...
  • Dalam masa yang sama,...

Penanda huraian isi karangan:
  • Hal ini berlaku kerana...
  • Hal ini terjadi kerana...
  • Hal ini disebabkan oleh...
  • Hal ini wujud akibat daripada...
  • Hal ini berpunca daripada...
  • Hal ini tercetus apabila...
  • Hal ini bersangkut paut dengan...

Penanda memberi contoh dalam karangan:
  • Misalnya,...
  • Contohnya,...
  • Sebagai contoh,...
  • Tamsilnya,...
  • Antaranya termasuklah...

Penanda menghuraikan contoh:
  • Hal ini mengakibatkan...
  • Hal ini menyebabkan...
  • Oleh itu,...
  • Oleh hal yang demikian,...
  • Oleh sebab itu...
  • Jelaslah bahawa...
  • Oleh yang demikian...
  • Dengan demikian...

Penanda menutup isi:
  • Kesannya,...
  • Natijahnya,...
  • Akibatnya,...
  • Akhirnya,...
  • Dengan itu,...
  • Kesudahannya,...

Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat:
  • bahkan...
  • malah...
  • malahan...
  • sementelahan...
  • tambahan pula...
  • sekali gus...
  • di samping itu...
  • begitu juga

Penanda memulakan perenggan penutup:
  • Kesimpulannya,...
  • Sebagai penutup wacana,...
  • Sebelum mengakhiri wacana ini,...
  • Secara keseluruhan,..
  • Sebagai kesimpulan,...
  • Tegasnya,...
  • Akhir kata,...

Penanda menerangkan Huraian atau pendapat yang berbeza:
  • Walau bagaimanapun,...
  • Namun demikian,...
  • Dari perspektif / sudut yang berbeza...
  • Jika dilihat dari sudut lain,...
  • Sebaliknya,...
  • Dalam pada itu,...
  • Walaupun,...
  • Walaupun demikian,...
  • Sungguhpun,...
  • Walau bagaimana sekalipun,...

Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa:
  • Bak kata orang tua-tua...
  • Masalah ini sama dengan peribahasa...
  • Bak kata peribahasa Melayu...
  • Bah kata pepatah...
  • Persis kata orang tua-tua...