Translate

15 Feb 2022

PANTUN

 ü  Pantun ialah salah satu daripada puisi Melayu lama. Pantun sudah lama wujud dalam masyarakat Melayu, iaitu sebelum mereka pandai membaca dan menulis. Selain diucap, pantun juga boleh dilagukan mengikut rentak irama yang dikehendaki. Pantun berfungsi sebagai hiburan, jenaka, sindiran, teka-teki dan juga untuk menyampaikan nasihat serta alat berkomunikasi dalam upacara adat istiadat.

 ü  Jenis-jenis pantun ialah Pantun kanak-kanak, Pantun orang muda, Pantun orang tua, Pantun jenaka dan Pantun teka-teki.

 

ü  Ciri-cirinya:

         Pantun tidak mempunyai pengarang, pencipta atau pemilik kerana pantun merupakan milik bersama rakyat Melayu pada zaman dahulu.

         Terdapat pembayang atau sampiran dan maksud. Baris pertama dan kedua pantun ialah pembayang, manakala baris ketiga dan keempat pula ialah maksud pantun.

         Setiap baris pantun mengandungi 8 hingga 12 suku kata.

         Tiap-tiap baris terbina 4 atau 5 patah perkataan.

         Rima akhir pantun 4 kerat ialah a, b, a, b.

         Jumlah baris setiap rangkap terdiri antaranya 2 baris/kerat, 4 baris/kerat, 6 baris/kerat dan 8 baris/kerat.

 

ü  Berikut ialah contoh pantun:

Pantun Nasihat:

 

Pantun

Maksud

 

Gunung Tahan sama didaki,

Sungai Pahang sama direnang;

 Jikalau semua bersatu hati,

Kerja yang payah menjadi senang.

 

Kalau semua orang (dalam kumpulan / organisasi / masyarakat) sepakat, seia sekata, maka sebarang tugas yang mungkin bersifat berat dan sukar akan menjadi ringan dan mudah untuk disempurnakan.

 

 

 

Melangir keris pusaka hikmat,

Keris sejarah sejak bahari;

Kalau gadis ingin selamat,

Jangan murah menjual diri.

 

-     Pesanan sangat jelas ditujukan buat gadis muda  remaja supaya sentiasa menjaga maruah diri.

-     Seseorang gadis yang berakhlak luhur dan mulia tidak akan mudah diperdaya atau cepat lemah terhadap godaan.

-     Maka, gadis tidak harus cepat leka dengan pujian atau lemas dengan pujuk rayu   (muslihat lelaki hidung belang, mata keranjang) hanya kerana seronok didampingi, walhal risiko keselamatan diri  sangat tinggi (mangsa serangan seksual, pembunuhan).

 

 

Menanam bunga di dalam pasu, 

Bunga melati, bunga pandan; Jangan ikut hawa nafsu,

Kelak nanti binasa badan.

 

-     Pesanan seterusnya ialah tentang bahaya menurut kehendak (atau hasutan) hawa nafsu yang boleh menjerumuskan seseorang ke arah kebinasaan.

-     Hawa nafsu merujuk kepada keinginan yang tidak terkawal dan menjurus kepada tabiat membazir.

-     Demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, seseorang itu  mungkin terdedah kepada perbuatan yang mengundang padah kepada diri sendiri.

 

 


Nyiur muda dibuat pengat,

Mari dimakan bulan puasa;

Wahai pemuda hendaklah ingat,

Kerana mulut badan binasa.

 

-     Nasihat juga ditujukan kepada lelaki muda (remaja dan muda).

-     Mereka diberi peringatan agar menjaga tutur kata dan ucapan.

-   Percakapan atau pendapat yang dilontarkan boleh jadi disalah erti atau sama sekali tidak disenangi oleh orang lain yang mengundang perbalahan yang dahsyat.

 

Orang berkelah di Tanjung Rhu,

Sambil memanggang si ikan sepat; 

Hendaklah banyak menghadap guru,

Supaya terang jalan makrifat.

 

-     Bagi memperoleh ilmu dan mengukuhkan kefahaman tentang banyak perkara, seseorang itu hendaklah berguru, iaitu mendapat bimbingan (dan ijazah) daripada guru-guru yang dalam ilmunya dan tajam pemikirannya.

-     Dalam kata lain, bagi mendapatkan pengalaman dan pengetahuan yang benar dan berguna, seseorang itu hendaklah melalui  proses pengajian yang diiktiraf.

-     Belajar bersendirian (tanpa guru) mengundang kesesatan (ditipu oleh syaitan laknatullah).

 

Rendang sungguh pohon ara,

Tumbuh subur tepi telaga;

Tidak salah berkenal mesra,

Tatasusila perlu dijaga.

 

-     Berkenalan dan menjadi lebih mesra tidaklah menjadi masalah.

-     Syaratnya perkenalan itu mestilah  berlandaskan tatasusila, iaitu adab dan etika yang luhur.

-     Perkenalan yang ikhlas bermakna bahawa segala batasan dan tegahan tidak dilanggari.