Proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. dalam proses demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. kata dasar juga boleh digandakan secara berentak iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu.
Kata ganda terbahagi kepada 3 jenis, iaitu:
1. Penggandaan Penuh
Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak. Contohnya:
i) Penggandaan penuh kata tunggal:
meja-meja
budak-budak
buku-buku
Contoh ayat: Meja-meja itu disusun rapi oleh pelajar.
ii) Penggandaan penuh kata berimbuhan:
pelatih-pelatih
jualan-jualan
persatuan-persatuan
Contoh ayat: Jualan-jualan di Pasar Malam sangat menguntungkan.
2. Penggandaan Separa
Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. kata dasar boleh merupakan kata tunggal atau kata terbitan. Contohnya:
i) Penggandaan separa kata tunggal:
laki -> lelaki
pohon -> pepohon
tikus -> tetikus
Contoh ayat: Lelaki itu berlari dengan pantas.
ii) Penggandaan separa kata berimbuhan:
berlari-lari
mencari-cari
tolong-menolong
sebaik-baik
sayur-sayuran
doa-doakan
bersalam-salaman
kebarat-baratan
Contoh ayat: Mereka mencari-cari nombor telefon Pizza Hut.
3. Penggandaan Berentak
Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi-buyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada 3 jenis:
i) Penggandaan berentak ialah pengulangan vokal:
kuih-muih
lauk-pauk
sayur-mayur
gotong-royong
cerai-berai
Contoh ayat: Gotong-royong merupakan amalan mulia.
ii) Penggandaan berentak pengulangan konsonan:
batu-batan
gunung-ganang
mundar-mandir
huru-hara
kucar-kacir
Contoh ayat: Negeri yang aman akan huru-hara akibat hasutan daripada anasir-anasir komunis.
iii) Penggandaan berentak bebas:
anak-pinak
saudara-mara
ulang-alik
lintang-pukang
remeh-temeh
Contoh ayat: Pencuri itu lari lintang-pukang apabila dikejar oleh anjing.